Merasuah Ilmu, Mengorat Iblis (Part 2)
Salam semua.
Kita sambung lagi dengan topik hebat 'Merasuah Ilmu, Mengorat Iblis". Apa syarat utama untuk kita nak jagi seorang yang bijaksana dalam masa yang sama mengamalkan adab-adab terpuji?
1. Bercinta dengan buku, berkahwin dengan ilmu. - Buku dan ilmu saling berkait rapat. Sejauh mana kebenaran ini? Ya, kawan-kawan. apabila kita suka membaca buku, secara tidak langsung kita dapat meluaskan ilmu pengetahuan kita. Ingat lagi tak peristiwa Nabi junjungan kita Muhammad SAW yang diperintahkan untuk menuntut ilmu? "Bacalah! Dengan nama tuhanmu yang menciptakan." Surah al-Iqra ayat 1.
Secara filosofikalnya, apakah yang disebalik makna tersirat BUKU?
B - Baca
U - Untuk
K - Keperibadian
U - Unggul
Cuba kawan-kawan sekalian bayangkan. Apa erti hidup kita jika MALAS membaca? Sudah tentu kita akan kekurangan ilmu. Pepatah cina mengatakan "Usahlah melupakan KENIKMATAN membaca buku"
Apabila kita dapat merasakan nikmat membaca, walaupun berulang kali membaca buku yang sama kita tetap tidak bosan membacanya. Seperti Al-Naisaburi yang sanggup membaca Sahih Muslim sebanyak 100 kali. Al-Muzzani pula sanggup membaca Ar-Risalah karya asy-Syafi sebanyak 500 kali. MasyaAllah! Kata Aidh al-Qarni, "Hidup ini tidak bermakna tanpa membaca, waktu tidak berguna tanpa buku".
2. Membina perpustakaan peribadi. - Istana apa yang paling HEBAT di dunia? Cuba teka. Jawapannya ialah Perpustakaan. Tidak kiralah perpustakaan awam, perpustakaan khusus ataupun perpustakaan milik sendiri. Disitulah sebenarnya terletak khazanah ilmu yang tidak terhitung nilainya.
Kenapa kita selalu merumitkan keadaan sedangkan hidup ini sangat indah. Saya bagi beberapa analogi yang amat mudah.
- Apabila kita sedang menunggu seseorang, janganlah mengeluh. Tidak akan merubah apapun. Bacalah!
- Apabila kita susah hati ataupun gelisah, Bacalah! Oleh itu, bawalah kemana sahaja buku. Buku merupakan sahabat terbaik untuk manusia.
Persoalannya, bagaimana kita nak membina sebuah perpustakaan peribadi kita sendiri? Jangan rasa gusar. Kecil-kecilan pun sudah memadai. Caranya sangat mudah.
- Bagi yang bekerja, 10% dari gaji yang diterima gunakanlah untuk membeli buku. Kalau rasa-rasa 10% itu sangat memberatkan, sekurang-kurangnya belilah 5 buku sebulan.
- Bagi yang sedang belajar, saya faham. Cubalah buat satu tabung khas untuk membeli buku. Daripada duit kita habis dibelanjakan membeli makanan segera, apa salahnya duit itu digunakan untuk membeli buku.
- Sebulan - 5 buku
- Setahun - 60 buku
- 10 tahun - 600 buku
- 20 tahun - 1200 buku.
Sesibuknya kita, bacalah buku sekurangnya-kurangnya 20 minit sehari. Kalau rasa tidak boleh, kurangkan kepada 10 minit sehari. Yang penting, kita buat secara konsisten. Ketika membaca, kita sebenarnya melayari alam pemikiran dan cuba menyelami hari nurani penulis tersebut.
Alangkah manisnya hidup ini apabila buku menjadi teman hidup kerana kitalah penakhluk ilmu, kitalah pengantin waktu. Lantaran keCINTAANnya terhadap buku, Ali al-Kinani mempunyai 20 bilik yang dipenuhi dengan buku dalam pelbagai bidang.
Sekarang ini, pasti akan tertanya-tanya. Dari mana nak mula mencintai buku?
Tutuplah pintu, Bukalah buku
Tutuplah mulut, Bukalah minda
Tutuplah Telinga, Bukalah mata..
Berikut merupakan tips agar apa yang kita baca dapat difahami.
- Bacaan pertama – tak faham.
- Bacaan kedua – lagi tak faham.
- Bacaan ketiga – tak faham langsung!
- Bacaan keempat – faham sikit.
- Bacaan kelima – baru faham
Maksudnya disini, kita kenalah ulang kali baca jika tidak faham.
- Jangan beralih ke perenggan 2, jika masih tak faham perenggan 1.
- Jangan beralih ke halaman 2, jika masih tak faham halaman 1.
- Gariskan isi-isi penting, dan berikan pandangan pro atau kontra (jika perlu).
- Gariskan istilah dan frasa tertentu yang menarik perhatian, atau sukar difahami (untuk rujukan lanjut)
Kawan-kawan, apabila kita sibuk dengan membaca, kita tidak akan ada masa untuk memburukkan orang lain. Betul tak?
Hormatilah Diri Kamu Dengan Diam Membaca;
Muliakanlah Diri Kamu Dengan Tekun Membaca
Orang jahil tidak pernah menyintai buku.
Orang jahil suka membuang masa orang lain.
Mulai saat dan ketika ini, marilah kita berazam tinggalkan aktiviti yang sia-sia, jauhilah pergaulan yang tidak membawa manfaat. Bagaimana kita nak mengatasi kebosanan membaca?
- Bacalah pelbagai genre buku.
- Bacalah setiap buku yang pelbagai bidang tersebut bergilir-gilir.
- Sambil-sambil tu, pasang muzik yang mendamaikan.. kan seronok membaca..
Akhir kata, jangan biarkan satu hari pun berlalu tanpa MEMBACA. Biasakan yang baik, baikkan yang biasa. Sebelum itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Nordie Achie di atas kebenaran beliau mengizinkan saya agar tajuk keramat ini dikongsikan kepada kawan-kawan sekalian. Semoga memberi manfaat kepada kalian semua. Yang baik itu datangnya dari Maha Pencipta, yang kurang itu dari kelemahan saya sendiri. Salam sebarkan ilmu.
assalamualaikum moon...cerita yg sangat baik dan menarik utk dikongsikan.... =) ...
ReplyDeletecan u call me..i lost my cell phone...