Rahsia di sebalik ucapan salam
Assalamu'alaikum Warohmatullahi Wabarokaatuh..Sidang pembaca yang saya hormati sekalian.
Hukum memberi salam adalah SUNAT manakala menjawab salam adalah WAJIB. Dalam kitab Riyadhus Solihin, Allah S.W.T berfirman dalam surah :
An-Nur : 27
"Hai orang-orang beriman, janganlah engkau semua memasuki rumah yang bukan rumah-rumahmu sendiri, sehingga engaku semua meminta izin lebih dulu serta mengucapkan salam kepada ahlinya yakni orang yang ada di dalamnya. "
An-Nisa :86
"Jikalau engkau semua diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan yakni salam malah jawablah penghormatan atau salam itu dengan lebih baik daripadannya atau balaslah dengan yang serupa dengannya."
Berikut adalah beberapa ayat al-quran yang menjelaskan tentang salam. Sebenarnya perkataan Assalam itu adalah kalimah Allah SWT. Kalau pembaca sekalian nak tahu, malaikat juga mengucapkan salam. Saya teringat satu kisah pada zaman nabi dimana malaikat mohon salamnya disampaikan kepada A'isyah r.a melalui nabi Muhammad SAW.
Pembaca yang dihormati sekalian, sebenarnya banyak kelebihan disebalik keindahan salam ini. Antaranya:
- Salam adalah sebagai permulaan kata-kata yang baik.
- Salam diucapkan sebagai pintu segala perbualan. Takkan kita nak terjah orang secara tiba-tiba tanpa memberi 'hint' kepada mereka? Diri kita sendiri pun kita tidak suka, bukan?
- Mengucapkan salam sebenarnya secara kita tidak sedar, kita sudahpun bersedekah. Bersedekah dalam konteks ini bukan wang semata-mata tetapi bercakap perkataan yang baik itupun sudah dikira sebagai sedekah.
- Ramai orang islam tidak menyedari dan mengetahui bahawa mengucapkan salam sebenarnya kita mendoakan diri kita sendiri. Mengapa? Cuba kita lihat hikmah yang tersirat. Memberi salam itu sunat, tapi menjawabnya adalah WAJIB. Jadi, apabila kita mendoakan kesejahteraan orang lain, sekaligus orang yang membalas salam kita juga akan mendoakan kesejahteraan kita. Betul tak?
- Memberi salam ini juga adalah sifat yang sangat terpuji. Salah satu cara untuk kita merawat penyakit hati. Apa kena mengena salam dengan penyakit hati? Saya bagi satu analogi. Pada suatu hari, kita bertembung dengan rakan sekerja kita yang memakai baju yang sangat cantik. Kita pun dalam hati berkata, "Cantiknya baju dia. Saya pun nak pakai macam tu juga.." Lihat pembaca sekalian, sudah ada perasaan ingin berlumba-lumba sedangkan tidak berkemampuan. Apa yang perlu kita buat apabila berada di situasi sebegini? Mulakan memberi salam. Sapalah rakan sekerja kita itu dengan memberi salam tanda kita bertemu dengannya. Sebenarnya kalau pembaca perasan, memberi salam mengurangkan rasa ego diri kita. Apabila masing-masing memainkan peranan saling memberi dan membalas salam, Subhanallah! betapa cantiknya ISLAM..
Ada sejenis penyakit ganjil umat Islam kita pada hari ini. Saya dapat lihat, hanya apabila kita kenal orang tu baru kita nak bagi salam. TIDAK! Tak semestinya begitu. Kita sesama umat islam adalah bersaudara. Namanya Islam, sebarkan salam.
Ada satu kisah yang saya ingin kongsikan kepada pembaca budiman sekalian. Pada suatu ketika dahulu, seorang pemuda sangat rajin pergi ke pasar tapi balik rumah dengan tangan kosong. Tak beli apapun. Seorang sahabat pun bertanya, "Kamu pergi ke pasar kenapa tak beli apa-apa?" Pemuda itupun menjawab, "Tujuan saya ke pasar setiap hari sebab saya ingin menyebarkan salam kepada orang ramai yang berada di pasar itu"
Lihat, di pasar pun kita boleh mendapat banyak rahmat. Kita seorang, memberi salam kepada orang ramai di pasar dan akhirnya yang ramai itu membalas salam kepada kita sekaligus kita mendapat banyak rahmat berkat didoakan oleh orang ramai.
Di kesempatan ini saya ingin memberitahu kepada pembaca yang saya kasihi sekalian. Jika kita pernah memberi salam kepada seseorang tetapi dia tidak membalas salam kita ataupun kita tahu dia tidak akan membalas salam tersebut, mohon maafkanlah dirinya yang kekurangan. Kenapa saya katakan demikian, membalas salam itu WAJIB bukan? jika dia tidak membalas salam kita, maka tergantunglah hak kita ke atasnya. Dialah yang menanggung dosa jika kita tidak merelakannya. Sebagai muslim yang sentiasa memperbaiki diri, marilah kita bersangka baik kepada orang lain. Mungkin saja suara kita tidak jelas ataupun mungkin dia sedang melakukan sesuatu yang tidak mengizinkannya untuk membalas salam kita.
TAPI INGAT! Ada juga keadaan dimana salam itu tidak wajib dijawab.
- Ketika berada di dalam tandas.
- Ketika sedang mengunyah makanan.
- Salam tahiyat akhir yang dilafazkan oleh imam
- Orang yang mempermain-mainkan salam. (Contoh : Apabila lelaki mengusik seorang wanita dikhuatiri menimbulkan fitnah jika salam tersebut dibalas. Sebaiknya jawab salam didalam hati sudah cukup memadai)
- Jika orang bukan Islam yang memberi salam. (Memadai menjawab 'WA'ALAIKUM' sahaja)
Nabi Muhammad SAW berpesan, sebutlah salam sebanyak 3 kali jika berada di tempat yang ramai orang dan bising supaya semua orang boleh mendengar salam kita.
Sekarang kita beralih pula keadaan dimana semua maklumat dihujung jari. Media sosial, gadget dan teknologi yang menjadi pilihan ramai pada zaman ini mahukan semuanya secara pantas. Akan tetapi, kita juga boleh menyebarkan salam melalui medium ini asalkan tepat dan jelas tulisan dan maksudnya. Paling baik sekali jika kita menaip penuh ucapan salam tersebut. Semasa menghantar salam, niatkan salam itu untuk diri kita sebenarnya kerana, kita mendoakan orang, orang juga turut mendoakan kita.
*Menaip salam hati-hati ya rakan sekalian. Jangan sampai tertaip 'ASSAM' sebab itu sudah mengubah maksud asal salam. Paling selamat, taip penuh salam tu, selepas itu, 'save' kan. Lain kali nak hantar mesej kepada orang, kita hanya perlu 'copypaste' saja salam yang kita dah 'save' tu.
"Sebaik-baik manusia di sisi Allah adalah orang yang terlebih dahulu memberikan salam."HR Abu Daud
"Sebaik-baik manusia di sisi Allah adalah orang yang terlebih dahulu memberikan salam."HR Abu Daud
Rasulullah SAW bersabda, "3 perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya, menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis dan panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya.." Riwayat At-Tabrani.
Dipenghujung penulisan ini, dapat saya simpulkan bahawa, disebalik salam banyak kelebihan dan hikmah yang Allah SWT berikan. Oleh yang demikian, ilmu itu sangat penting yang mesti dituntut oleh umat Islam sebagai pedoman dan panduan seharian. Marilah kita berlumba-lumba untuk mendapatkan rahmat dan keberkatan Allah SWT dengan mendahulukan dan memperbanyakkan salam. Salam sebarkan ilmu.
0 Komen membina:
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi komen.. (^_^)*