Bagaimana nak dapat kemanisan Iman?

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Assalamualaikum warahmatullahi Wabarokatuh wahai saudara saudari yang saya kasihi kerana Allah. Apa khabar anda semua? Semoga sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT. Amin saya doakan yang terbaik buat anda. Tidak lupa juga kepada pembaca setia blog saya. Semoga kalian mendapat manfaat dari ilmu yang saya kongsikan bersama.

Alhamdulillah.. Pejam celik kita dah berada dalam bulan Sya'ban.. Rindu tak dengan Ramadhan? Saya sangat rindu. Anda bagaimana? Sesi kali ini saya nak berkongsi dengan anda semua ilmu yang saya kutip dari mengikuti bicara ilmu setiap hari rabu yang di sampaikan sekali lagi oleh Ustaz Razali Saibin. Tajuk yang dibincangkan kali ini ialah 'Kemanisan Iman' atau dalam bahasa Arabnya 'Halawatul Iman'. 

Pada kali ini seramai 8 orang sahaja yang berkesempatan mengikuti bicara ilmu. Ustaz berpesan, sedikit atau ramainya orang disuatu majlis ilmu itu kerana Allah memberi kelapangan kepada mereka untuk hadir. Yang tidak dapat hadir itu bukan sebab tidak mahu tetapi sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa bersangka baik. Mungkin ada masalah yang tidak dapat dielakkan..

Muslimin muslimat yang saya hormati kerana Allah,

Nabi Muhammad SAW bersabda: " Barangsiapa yang mahu kefahaman, Allah akan berikan dirinya kelapangan untuk menimba ilmu."

Lagi jauh majlis ilmu, lagi banyak ganjaran pahala yang Allah berikan kerana setiap perjalanannya itu adalah jihad. Masya Allah! 

Rasa-rasanya boleh tidak kita merasai iman? Anas bin Malik meriwayatkan Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: "3 Perkara barangsiapa yang ada padanya, dia akan mendapat kemanisan iman.
  1. Bahawasanya Allah dan Rasul lebih dikasihi olehnya selain daripada segalanya. 
  2. Dia mencintai seseorang kerana Allah SWT
  3. Dia membenci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dimasukkan kedalam neraka.
Setiap perkara yang kita lakukan, pastikan niat kerana Allah SWT. Apabila kita pasang niat yang betul, in shaa Allah kita dipuji, dikritik, dikeji, dicaci semua itu tidak akan terkesan dalam diri kita. Apa yang kita rasa sama sahaja. Sebab niat kita lillahi taa'la..kerana Allah SWT. Itu salah satu kemanisan iman yang kita rasa.

Saya bagi satu analogi. Sebagai contoh, kita bersungguh-sungguh nak hadiahkan baju kepada sahabat baik kita. Siang malam kita jahit baju dengan penuh teliti. Kita nak hadiah tu hasil dari tangan kita. Suatu hari, baju tersebut kita serahkan kepada sahabat baik kita itu. Alangkah hancurnya hati apabila kita dapat tahu dia tidak suka akan pemberian dari kita. Apakah perasaan kita pada waktu itu?

Sumber : http://irenealia.files.wordpress.com/2012/10/488342_468468799853066_893307861_n.jpg
Begitu juga dengan Allah SWT. Banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Allah berikan kita pancaindera serta menjadikan siang dan malam. Setiap saat dan ketika Allah SWT menjaga kita, jaga matahari, jaga bulan. Bayangkan jika Allah memadamkan matahari selama 5 minit. Sudah pasti doktor kelam kabut ketika melakukan pembedahan. Sudah pasti jalan raya sesak. Sebab tidak ada elektrik. Betul tidak? Sebenarnya tidak terhitung semua kurnian Allah. Tapi bagaimanakah kita membalas pemberian Allah SWT? Allahuakhbar! Tepuk dada tanya hati.

RENUNGAN : Kita tidak akan pernah menghargai kesenangan jika tidak pernah berada dalam kesusahan.

Saudara saudari yang saya hormati kerana Allah,

Sebut sahaja 3 perkara ini dimana sahaja kita berada samada sebelum tidur, ketika berseorangan, berada dalam bahaya ataupun ditimpa musibah. Ajarkan juga kepada anak-anak kita, adik beradik, sahabat serta sampaikan kepada sesiapa sahaja. Nescaya kita tidak akan berani melakukan kemungkaran dan in shaa Allah niat murni kita akan sampai kepada Allah SWT.
  1. Allah sentiasa bersamaku.
  2. Allah sedang melihatku.
  3. Allah sentiasa mendengarku.
Selain itu, apabila kita dapat melawan nafsu, kita akan mendapat kemanisan iman. Sebagai contoh, kita hendak meminjam sesuatu benda daripada orang, minta kebenaran dari empunya dahulu. Dapatkan secara halal dan dahulukan Allah SWT melebihi segalanya kerana Allah cinta teragung kita. Allah cinta kita yang satu. Dalam solat juga ada kemanisan iman yakni perasaan khusyuk terbit dari hati.

TIP : Bagaimana hendak mendapatkan solat yang khusyuk? Salah satu caranya ialah, sebelum solat kita berdakwah dahulu. Ajak seorang dua rakan kita menunaikan solat bersama-sama dengan kita. Jika kita mendengar jawapan negatif dari mereka, ini menambahkan lagi khusyuknya solat kita kerana kita akan mendoakan agar rakan kita itu diberi hidayah dan petunjuk dari Allah.

Sumber : http://demibahagia.net/wp-content/uploads/2013/11/bertaubat-kepada-Allah.jpg
Kesimpulannya, kemanisan iman perlu dicari. Kesannya hati jadi tenang dan tenteram, melakukan sesuatu ikhlas kerana Allah SWT dan sangat membenci kemungkaran. Setakat ini sahaja yang dapat saya kongsikan dan pastinya akan ada lagi pengisian ilmu pada masa akan datang. Yang baik dan sempurna itu datangnya dari Allah SWT, yang serba kekurangan dan tidak sempurna itu datangnya dari diri saya sendiri. Semoga anda semua mendapat kemanisan iman yang dicari-cari selama ini.

Wassalam dari saya.



Share this:

JOIN CONVERSATION

    Blogger Comment

0 Komen membina:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen.. (^_^)*