Pengisian Kuliah Dhuha

Assalamualaikum Wbt.

Selamat Tahun Baru 2015 kepada rakan pembaca yang saya hormati sekalian. Marilah kita bersama-sama menanam azam baharu dengan memperbaiki peribadi dan sahsiah diri agar hidup lebih tenang dan harmoni. Saya juga ingin mengambil kesempatan ingin mengucapkan Salam Maulidur Rasul 1436 Hijriah. Cantik dan molek Maulidur Rasul kali ini disambut pada awal Januari. Saya mengajak anda semua agar bersama-sama menghidupkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Bangun tidur, melihat cermin, masuk ke tandas dan apa saja tindakan yang kita lakukan, mulakanlah dengan basmallah dan doa. Semoga kita beroleh keberkatan dunia dan akhirat.

Pembuka tirai blog saya pada tahun ini ialah saya ingin berkongsi dengan anda semua yang tidak berkesempatan mengikuti ceramah Ustaz Kazim Elias yang diadakan di Masjid Negeri pada 28 Disember 2014 yang lalu. Semoga sedikit perkongsian ini mengubat kerinduan anda pada majlis ilmu.

Pada suatu ketika, Saidina Ali r.a mengalami sakit demam. Saidina Ali r.a dan Rasulullah menziarahi seorang sahabat pada waktu itu. Mereka dihidangkan dengan buah kurma. Rasulullah berpesan kepada Saidina Ali r.a, janganlah kamu makan kurma kerana kurma itu tidak baik bagi orang sakit. Makanlah sesuatu yang tidak bertentangan dengan kesihatan kamu. 

Makanlah kamu makanan yang baik-baik kerana yang baik itu sudah pasti halal. Tetapi yang halal itu belum tentu baik untuk kamu. Sebagai contoh, gula itu halal. Akan tetapi, jika kamu menghidap penyakit diabetis, gula tidak sesuai untuk kamu.



Pembaca yang saya hormati,

Allah menjadikan alam ini sangat elok dan setiapnya ada fungsi masing-masing. Tidak ada makhluk yang lebih cerdik daripada manusia. Oleh yang demikian, manusia harus tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Janganlah perkara kecil diperbesarkan. Sebagai contoh, hanya kerana sebidang tanah, manusia bergaduh dan berdendam berpuluh-puluh tahun lamanya. Kita sebenarnya mempunyai banyak persamaan. Yang tidak sama hanyalah bendera, kawasan dan sempadan. Malaysia contoh terbaik yang saya boleh berikan. Walaupun kita tinggal berlainan negeri, seharusnya kita menyematkan semangat perpaduan. Jangan ada pergaduhan sesama kita. 


Nabi Muhammad S.A.W sayang kepada dunia kerana 3 perkara.
  1. Nabi Muhammad S.A.W  suka akan wangi-wangian. Malaikat pun suka akan wangi-wangian.
  2. Nabi Muhammad S.A.W suka wanita solehah. Ini tidak bermakna Nabi mata keranjang. TIDAK sama sekali. Akan tetapi, Nabi memandang tinggi dan menghormati wanita yang solehah. Jika wanita itu baik, maka dia akan melahirkan dan mendidik generasi yang baik juga.
  3. Nabi Muhammad S.A.W suka akan solat. Hanya sekali sahaja nabi tidak solat. Ketika itu peristiwa pembukaan kota Mekah. Solat menambah sujud kita kepada Allah S.W.T Dengan solat, hati kita akan tenang. Solat tanda kita syukur dengan nikmat Allah.
Pembaca yang dihormati sekalian,

Jangan salah faham. Islam tidak menolak dunia. Malah Islam menjaga dunia dan akhirat. Suatu ketika, Saidina Umar Al-Khattab pernah menghalau pemuda yang berada di masjid. Sebab apa? Saidina Umar menyuruh pemuda tersebut keluar bekerja. Manusia perlu menjalani hidup dengan sebaiknya. Islam tidak melarang umatnya kaya. Malah Islam amat menggalakkan umatnya rajin mencari rezeki. Dengan adanya rezeki, manusia berpeluang berbuat amal kebaikan dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, mewakafkan sebahagian harta dan bersedekah di jalan Allah.


Nabi Muhammad S.A.W bersabda, terdapat 4 cara untuk menarik hati orang.
  1. Beri makan kepada orang.
  2. Menyambung sillaturrahim
  3. Menyebarkan salam
  4. Solat malam dikala orang sedang tidur.
Manusia terbahagi kepada 3 kategori.
  1. Manusia yang sangat bermanfaat kepada orang lain.
  2. Manusia yang diperlukan apabila orang susah.
  3. Manusia yang suka menyusahkan orang lain.
Jadilah kita manusia nombor 1 yakni memberi manfaat kepada orang lain. Ringankan tulang menghulurkan bantuan. Nabi Muhammad S.A.W berpesan, nak bagi orang menjadi baik, berilah dia kefahaman tentang agama. 

Sedikit perkongsian ini moga-moga dapat menyuntik semangat anda untuk lebih sayang kepada Islam. Salam sebarkan ilmu.


Share this:

JOIN CONVERSATION

    Blogger Comment

0 Komen membina:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen.. (^_^)*