7 Tip Mengubati Perasaan Hasad Dengki

Assalamualaikum Wbt.

Salam Rabiul Awal kepada pembaca yang saya hormati. Kali ini saya nak berkongsi tentang penyakit hati. Pembunuh hati dalam diam. Ada ketika kita tidak sedar bahawa kita sedang cemburu dan iri hati dengan kebahagian orang lain. Apa yang orang lain dapat, kita tidak dapat. Kita tidak suka melihat orang lain berjaya dan bahagia. Ada saja yang tidak kena dengan perilaku orang lain yang kita tidak puas hati. Ini dinamakan perasaan hasad dengki. Orang yang mempunyai perasaan hasad dengki ini hatinya tidak akan pernah tenteram.
Hasad dengki ini bukan perkara baru yang berlaku dalam diri kita pada zaman ini. Akan tetapi, hasad dengki sudah berlaku sejak zaman nabi Adam AS lagi. Ingat tak kisah Habil dan Qabil?? Kesudahannya berakhir dengan pembunuhan dan kesedihan. Kita tidak mahu kisah tersebut terjadi dalam hidup kita. Mohon Allah menjauhkan kita dari segala tipu daya syaitan.

Pembaca yang dihormati,

Jika perasaan ini tidak dikawal dan dirawat, sudah pasti hati kita akan menjadi keras. Kemudian, timbullah masalah hati yang lain seperti benci, marah, panas baran dan sebagainya. Itu yang terjadi pada sesetengah orang yang sampai menggunakan khidmat bomoh. Secara tidak langsung, kita sudah mensyirikkan Allah. Sedangkan syirik pada Allah tiada ampunnya. Nauzubillah Minzalik. Ini tidak lain dan tidak bukan, syaitanlah yang sudah menguasai hati kita. Syaitan berjaya masuk ke dalam hati kita melalui pintu hawa nafsu dimana itulah salah satu kelemahan yang manusia miliki.

Oleh sebab itu, kita sebagai manusia yang waras akal fikirannya, perlu sentiasa peka dan berhati-hati. Jaga dan lindungilah hati kita dari ditakhluki oleh syaitan laknatullah. Berikut adalah 7 tip yang diharap dapat membantu kita untuk mengubati perasaan hasad dengki. In shaa Allah jika kita amalkan 7 tip ini, pasti hati kita akan terjaga. 

1. Mengakui DALAM HATI, jika kita ada sifat hasad dengki. Mengakui kita dengki dengan fulan bin/binti si fulan.. Sebagai contoh, "Aku cemburu dia naik pangkat".Jangan takut untuk mengakui kekurangan diri. Itu menandakan kita masih waras dan sedar apa yang kita lakukan.

2. Berdoa kepada orang yang kita dengki itu dengan segala kebaikan diberikan kepadanya. Sebagai contoh, "Ya Allah, BERILAH DIA kelebihan, murahkanlah rezekinya dan ampunilah dosa-dosanya. Aminn." Besar pahala mendoakan orang lain tanpa pengetahuannya. 

Dari Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

3. BERDOA dan terus berdoa jika hati masih memberontak, hati masih membenci dan mendengki kepada orang lain. Jangan pernah berhenti. Yakin dengan kuasa Allah. Allah menciptakan kita. Allah jualah yang memegang hati kita. Sentiasa memohon agar dilembutkan hati kita.

4. JANGAN SEGAN mengucapkan tahniah kepada orang yang kita dengki jika dia berjaya. Sebaliknya jika dia kecundang ataupun ditimpa musibah, jangan pula kita bertambah suka dan buat-buat tidak tahu. Suarakan perasaan sedih kita kepadanya agar dia tahu ada orang lain yang memahami situasi dirinya.

5. BANTU MEREKA. Kalau boleh, kitalah orang paling banyak membantu dirinya. Ringankan tangan dan bertanya jika ada yang boleh dibantu. Buka hati kita untuk mendengar masalah yang dia alami.

6. JANGAN LAYAN sifat dengki itu. Semakin dilayan, semakin melarat kebencian dihati kita. 

7. Zahirkan nama-nama Allah. Sebutkanlah 99 NAMA Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Pemurah, Allah Maha Agung dan seterusnya.. Proses ini sebenarnya menyucikan hati kita.


Rasulullah SAW bersabda : "Jauhilah olehmu sekalian akan sifat dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api menghanguskan kayu bakar." Yakni, boleh menyebabkan kufur.



Lawan kepada hasad dengki ialah bersangka baik. Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjauhi sifat hasad dengki. SELALULAH PERIKSA HATI KITA. Amar makruf, nahi munkar. Salam sebarkan ilmu.




Share this:

JOIN CONVERSATION

    Blogger Comment

0 Komen membina:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen.. (^_^)*