Adab Dalam Menuntut ilmu

Assalamualaikum wbt.


Kata Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid, orang yang datang kepada majlis ilmu tanpa membawa pen dan kertas seperti orang yang pergi berjihad fisabilillah tanpa membawa senjata. 

Saya suka memetik kata-kata imam Syafie, "Ilmu itu umpama mangsa yang sedang diburu. Maka, jika dapat mangsa tersebut, ikatlah". Maksud 'ikat' disini merujuk kepada mencatat. Ilmu itu patut dicatat. Orang yang dapat ilmu tapi tidak mencatatnya seperti datang ke majlis ilmu tanpa membawa pen dan kertas lalu membiarkan mangsa buruannya terlepas.



Allah memandang tinggi orang  berusaha menuntut ilmu. Kita seharusnya tahu adab-adab dalam menuntut ilmu. Dengan adanya ilmu, kita akan menjadi insan yang berpengetahuan. Orang berilmu akan berfikir dahulu sebelum bercakap. Hiasilah mulut kita dengan kata-kata yang baik. Sesungguhnya setiap apa yang kita ucapkan akan dicatat oleh malaikat dan kita bertanggungjawab terhadap apa yang kita katakan. Maka jika kita tidak mahu mengata sesuatu yang tidak baik, lebih baik mulut dikunci yakni berdiamlah.

Pernah suatu ketika, imam Syafie didatangi seorang pemuda dan memaki hamun beliau. Imam Syafie tidak membalas walau 1 perkataan yang menyakitkan kepada pemuda tersebut. Beliau berkata, "orang jahil yang bercakap buruk terhadap aku, aku tidak akan layan dan membalas bercakap buruk terhadap dia. Orang itu bertambah jahil dengan cakapannya itu dan aku bertambah mulia kerana tidak melayan orang tersebut. 


















Berikut adalah beberapa tip yang boleh diamalkan dalam kita menuntut ilmu. Moga-moga ilmu yang kita dapat itu adalah ilmu yang berkat.
  1. Niatkan dalam hati menuntut ilmu kerana Allah S.W.T, membantu diri dan memberi manfaat kepada orang lain.
  2. Bacalah doa menuntut ilmu. 
  3. Mempunyai semangat dan kesungguhan dalam menuntut ilmu.
  4. Berdoa agar Allah mempermudahkan urusan kita dalam menuntut ilmu.
  5. Rajin bertanya jika tidak faham.
  6. Merendah diri terhadap guru.
  7. Sentiasa mendoakan kesejahteraan guru.
  8. Fokus dengan ilmu yang diajar.
  9. Tidak membiarkan sesuatu mengganggu dalam pembelajaran.
  10. Bersiap sedia dari awal.
  11. Mengajak orang lain bersama-sama mendengar majlis ilmu.
Tanda-tanda orang yang dahagakan ilmu.
  1. Merasa rugi jika tidak menghadiri majlis ilmu.
  2. Sentiasa merasakan ilmu yang ada tidak cukup.
  3. Sentiasa berfikir akibat dari setiap kejadian yang menimpa dirinya.
  4. Sentiasa membawa pen dan buku ke mana sahaja.
  5. Dirinya sendiri yang mengambil inisiatif mencari majlis ilmu.
  6. Tidak lokek berkongsi ilmu dengan orang lain.
  7. Rajin membuat kajian dan melihat dari pelbagai sudut pandangan. 
  8. Tidak bergantung kepada 1 sumber sahaja.
  9. Lebih suka mendapatkan keaslian dan kebenaran sesuatu ilmu tersebut.
Ingat, nilai ilmu bukan pada tingginya pointer, bukan pada segulung ijazah, bukan juga pada banyaknya harta yang dibelanjakan dalam menuntut ilmu. Akan tetapi, nilai ilmu itu dari usaha kita mendapatkannya, keikhlasan, ketekunan, kesabaran, bagaimana kita amalkan serta tujuan ilmu itu digunakan.

Wahai pembaca yang saya hormati,

Marilah kita sama-sama cintakan ilmu. Ada ilmu didada menandakan kita mempunyai kefahaman dan terhindar dari sifat jahil. Ada 2 musuh ilmu bagai duri dalam daging. Musuh tersebut tidak lain dan tidak bukan sifat riak dan ujub. Seharusnya, semakin kita berilmu, kita semakin merendah diri. Bak kata pepatah, padi semakin berisi, semakin tunduk.

Jangan lupa senyum kawan-kawan kerana dalam setiap senyuman kita ada pahala sedekah.


Salam sebarkan ilmu.

Share this:

JOIN CONVERSATION

    Blogger Comment

0 Komen membina:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen.. (^_^)*