Kerjaya anda, masa depan anda (PART 3/3)


KORANG NAK TAHU TAK.. SEBENARNYAKAN..

Awas! Jangan suka bergosip kawan-kawan. Kadang-kadang, itu menjadi kelemahan kepada kita. Tak pasal-pasal, anda juga boleh jadi bahan gosip orang. Jika kita mempunyai nilai kerja yang tinggi, kita pasti tidak akan menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya. Kita juga pasti tidak mahu mendengar gosip-gosip liar di pejabat. Ingat! Jika mengata sesuatu tentang seseorang walhal benda itu tidak benar, kita sudah melakukan fitnah ke atasnya dan jika perkara itu benar, secara tidak langsung, kita sedang mengumpat. Tahukan anda betapa besar dosa fitnah dan mengumpat?

Katakanlah jika ada rakan yang datang untuk bergosip dengan anda, beritahu terus kepadanya anda tidak berminat untuk mendengar. Paling berkesan, buat muka selamba yang menunjukkan anda tidak berminat untuk mendengarnya. Sekiranya anda takut untuk melukakan hati mereka, cuba cari jalan dan alasan. Berikut beberapa alasan yang boleh membantu anda menjauhi sifat mengumpat dan mendengar gosip. Nescaya anda akan selamat.

  1. Saya minta maaf. Saya nak ke tandas kejap. 
  2. Saya minta maaf. Saya ada kerja yang perlu disiapkan segera.
  3. Saya minta maaf. Saya kena call seseorang ni. Ada hal penting.
  4. Saya minta maaf. Saya kena jumpa bos sekarang.
Ok kan? Anda boleh sebenarnya mengelak. Jika ada penawaran, pasti ada permintaan. Begitu juga gosip dan mengumpat. Jika ada pendengar, pasti ada penyebar. Jadi, lebih baik mencengah dari merawat.

LECEHNYA KERJA NI.. INI PUN SAYA KENA BUAT?

Zaman moden ini, percaya atau tidak, masih ada ketua yang memiliki sikap menyuruh berbanding memimpin. Walaupun itu bukan tugas hakiki kita, akan tetapi oleh kerana tiada orang yang berani menerima tugas itu, anda dengan besar hati menerima apa saja arahan dari ketua anda. Sikap anda ini harus dipuji. Kita tidak tahu, mungkin ketika itu ketua kita sedang menguji kesanggupan dan keterbukaan kita terhadap kerja. Kadang-kadang, kerja yang remeh itulah yang membantu prestasi anda. 

Akan tetapi, sikap baik hati anda juga boleh mengundang diri anda dipergunakan oleh mereka. Situasi ini memerlukan anda bijak dalam membuat pilihan dan memberi bantuan. Jika ketua anda meminta bantuan, walhal dia ada kakitangan yang sepatutnya boleh melakukan tugas tersebut, anda perlu bersuara dan berani menolak permintaan ketua anda itu. Tolaklah dengan cara terhormat tanpa melukakan hatinya. Seorang pekerja yang berkaliber, pandai mengawal keadaan sekeliling.

KERJA TAK SIAP LAGI NI..

Kerja yang berlambak di pejabat tak habis-habis. Risaunya.. Dalam perjalanan balik ke rumah pun masih memikirkan pasal hal kerja.Ada saja kerja rumah yang tidak kena. Jangan macam tu kawan-kawan. Tamat sahaja waktu bekerja, lupakan hal kerja! Anda kini berada bersama keluarga. Fokus dengan hal rumahtangga pula. Anda kena pandai membahagikan masa. Luangkan masa emas anda itu bersama keluarga tersayang. Jangan difikirkan lagi hal pejabat. Bila anda di pejabat pula, sebaliknya fokus dengan tugasan anda. Jangan campur adukkan masalah keluarga. Anda mestilah menanamkan sikap profesional.

Selain itu, kawan memainkan peranan yang sangat penting. Selain keluarga, kawan yang dipercayai adalah orang yang boleh membantu anda. Sebelum itu, anda perlulah pandai mencari kawan yang dapat memahami dan sanggup mendengar masalah anda. Kawan akan menasihati kita sekiranya perlu. Kawan membimbing kita dikala kita dalam dilema. Luahkan masalah anda. Jangan pendam nanti akan memakan diri sendiri. Kesannya, anda akan murung, pendiam dan tidak ramah.

BOS NI, ASYIK MARAH JE...

Ketua merupakan orang yang berupaya membimbing dan memimpin anda dalam dalam melaksanakan sesuatu tugas dengan lebih baik. Ketua juga sebagai pemandu arah dan tempat merujuk sekiranya kita tidak pasti. Ketua dipilih berdasarkan kelayakan dan kredibiliti yang mereka miliki. Janganlah asyik salahkan dan ambil hati  dengan sikap berang bos. Pasti ada sebab mereka berbuat begitu. Mungkin memang kerja anda ada kesilapan. Mungkin juga dia sendiri berasa tertekan kerana hal-hal kerja lain, Siapa tahu. Mereka juga insan biasa yang mempunyai masalah. Pandanglah dari sudut positif. Sentiasa ambil ikhtibar dari apa yang berlaku.

Jadilah pekerja yang menyumbang ke arah kecemerlangan organisasi. Jadilah pekerja yang jujur dalam segala hal. Semoga rezeki kita sentiasa diberkati Allah yang Maha Esa.


Salam semua! 




Share this:

JOIN CONVERSATION

    Blogger Comment

0 Komen membina:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi komen.. (^_^)*